Luaskan Makna Politik.
Sebagai seorang Mufti, saya bertanggungjawab menjelaskan kepada
orang ramai bahawa mafhum politik adalah lebih luas daripada hanya
berpolitik secara kepartian. Berpolitik secara kepartian hanyalah satu wasilah
daripada banyak wasilah lain yang akan menyampaikan kepada maksud politik yang
lebih luas itu.
Apa yang saya dapati kebanyakan orang Islam khususnya orang Melayu terperangkap
dengan definisi yang sempit ini sehingga menghabiskan banyak masa, tenaga, buah
fikiran dan menambahkan jurang perbezaan sesama Muslim sedangkan matlamat asal
politik itu semakin jauh dari jangkauan. Kebanyakan ahli masyarakat tidak lagi
melihat politik dari sudut ilmu dan falsafah sebenarnya tetapi lebih
terpengaruh dengan tindakan dan gelagat ahli-ahli politik yang mewarnai iklim
berpolitik tanah air. Berpolitik sering difahami dan dilatari dengan perebutan
kuasa, pertikaman lidah, tuduh menuduh, gelar menggelar dan sebagainya .
Politik dari sudut bahasa yang mudah untuk difahami menurut
sebahagian ilmuwan adalah melaksanakan sesuatu dengan memastikan kebaikan pada
perkara itu. Manakala dari sudut kemasyarakatan bermaksud mengurus secara bijaksana
dan pandangan dengan analisis yang tajam terhadap kesan sesuatu tindakan. Ia
juga membawa makna sekumpulan hal ehwal urusan yang berkaitan dengan
pentadbiran negara. Politik juga dapat diertikan sebagai satu kegiatan ummah
menyokong dan mendokong usaha melaksanakan syariat untuk merealisasikan Islam
yang syumul dapat dipraktikkan melalui sebuah institusi yang menjadi
penerajunya. (Umat
dan Negara dalam Syariat Islam karangan Dr. Abdul Karim Zaidan).
Saya sangat risau dalam pertembungan aliran politik Melayu antara
aliran Islamis dan nasionalis akan menjerumuskan mereka menggunakan pendekatan
aliran falsafah Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan sebarang cara (ends justify the
means) .Perkembangan mutakhir ini menjelmakan wajah-wajah Melayu yang
lebih mesra dengan kehendak orang bukan Islam baik di pihak pemerintah mahupun
pembangkang.
Kenyataan ini mungkin ditafsirkan sebagai asabiah oleh sesetengah
pihak namun, saya berpegang kepada definisi asabiah yang diberi oleh Nabi
Muhammad SAW menerusi hadis Baginda SAW: Seorang lelaki (ayah perempuan yang
meriwayatkan hadith) bertanya: Wahai Rasulullah, adakah dianggap asabiah, puak
orang yang sayang kepada kaum bangsanya? Jawab Baginda saw: Tidak, tetapi
asabiah adalah apabila seorang itu menolong bangsanya kepada kezaliman.
(Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya). Imam Al-Munawi ketika
mensyarahkan perkataan asabiah lalu berkata: "Iaitu membantu
kezaliman…" (rujuk Aun Al-Ma'bud)
Adapun tentang kecintaan terhadap sesuatu bangsa, Rasulullah saw
sendiri ada menegaskan mengenai kecintaan terhadap bangsa Arab sebagaimana
dalam hadis: "Kecintaan terhadap bangsa Arab itu adalah (tanda) keimanan
dan kebencian kepada mereka adalah (tanda) kemunafiqan (Imam Al-Hakim berkata:
Hadis ini sahih walaupun tidak diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim.)
Terlibat
Sikap saya terhadap bangsa Melayu adalah amat jelas dalam banyak
kenyataan saya sebelum ini. Saya tidak sekali-kali membela bangsa ini jika ia
terlibat dalam kemaksiatan dan kemungkaran. Kenyataan saya terhadap Sure Heboh,
gejala vandalisme, teguran saya terhadap cadangan kerajaan untuk melesenkan
judi kejohanan bolasepak Piala Dunia adalah sedikit contoh bahawa saya tidak
bertolak ansur dalam soal syariat Allah. Bagi bangsa Melayu yang saya cintai
ini, saya melihat perpecahan sesama Muslim adalah maksiat yang besar dan soal
perpaduan adalah sesuatu yang tidak ada tawar menawar dan perlu ditandai dengan
harga mati!
Dalam keghairahan berpolitik berparti saya mengingatkan orang Melayu
Muslim agar kembali kepada Allah SWT menerusi firman-Nya: Wahai orang-orang yang
beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan
merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan
itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum
perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana)
harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah
setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu
panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.
(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi
fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia
beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan
fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang
beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka
sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah
dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban
orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah
seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika
demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (oleh itu,
patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah;
Sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.(terjemahan ayat
11 dan 12 surah al-Hujurat)
Setiap orang Islam segenap peringkat wajib kembali kepada
"usul" perpaduan yang terkandung dalam ayat-ayat tersebut. Saya
merasa yakin, tidak guna jika segelintir orang Melayu Islam memegang tampuk
pemerintahan sedangkan yang lain terus bercakaran.
Salah satu mekanisme yang digunakan oleh Rasulullah SAW untuk
menyatupadukan umat Islam adalah melalui masjid. Saya menyatakan satu ketika
dahulu apabila kita pergi ke masjid, tinggalkan politik di pagar masjid, tetapi
ramai yang tersalah anggap malah menuduh saya jahil sejarah kerana memisahkan
politik dari masjid. Politik yang saya minta supaya disangkut di tepi masjid
adalah politik yang memecahbelahkan masyarakat, politik yang menyebabkan
penyokong sesuatu parti tidak akan duduk mendengar majlis ilmu yang disampaikan
oleh seteru parti politiknya.
Namun hal ehwal umat Islam yang perlu diurus dengan baik dari sudut
pemerintahannya, budayanya, ekonominya sudah tentu tidak dilarang. Satu lagi
fakta sejarah yang mungkin terlepas pandang adalah ramai mengatakan apa
salahnya bercerita hal-hal politik di dalam masjid. Saya berpandangan tidak ada
salahnya jika ia akan menjadikan umat Islam lebih bersatu padu dan menjadi umat
yang lebih kuat bekerja memakmurkan dunia ini.
Dihentikan
Tetapi jika menjadikan umat ini lebih parah berpecah belah, mengecilkan
skop politik hanya dengan berparti, maka saya katakan hendaklah perbuatan itu
dihentikan. Apabila kita kembali kepada sejarah, memang Nabi SAW banyak
menguruskan hal ehwal umat di dalam Masjid Nabawi namun kita harus tahu bahawa
lokasi rumah Nabi SAW adalah amat dekat dengan masjidnya maka sudah tentu
penurunan wahyu yang bertalian arus dibacakan oleh Nabi SAW di masjid kerana
berdekatan dengan rumahnya.
Apabila wilayah Islam semakin berkembang dan hal-ehwal umat Islam
diurus secara berinstitusi maka secara langsung hal-ehwal berkenaan diurus
melalui institusi berkenaan sebagai contoh urusan kehakiman diurus oleh
mahkamah, urusan kesihatan diurus oleh hospital dan sebagainya.
Apa yang berlaku sekarang segelintir masjid dijadikan gelanggang
caci mencaci dan umpat mengumpat yang jelas diharamkan Allah SWT seperti yang
terkandung dalam ayat 10-11 surah al-Hujurat yang bermaksud: Sebenarnya orang-orang
yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu
(yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh
rahmat. (10) Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum
lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki Yang lain, (kerana) harus
puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu
puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang
lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan
janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah
pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang
buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya
menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang)
sesudah ia beriman, dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada
perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.(11)
Apatah lagi perbuatan yang haram atau dilarang oleh agama ini, jika
dilakukan pula di dalam masjid, sangat besar dosanya. Perbuatan ini sebenarnya,
adalah hasil hasutan Iblis seperti yang difirmankan Allah SWT dalam surah
al-Dzukhruf : 36-37: Dan sesiapa yang tidak
mengindahkan pengajaran (al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha
Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya),
lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. (36) dan
sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang
benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah
petunjuk. (37)
Atas sebab inilah pihak berkuasa agama mengambil pendirian melarang
sebarang kegiatan politik kepartian di masjid.
Larangan berpolitik di masjid hendaklah difahami seperti penjelasan
di atas. Saya juga berharap semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang
memahami hal ini serta hormat dengan peraturan larangan berpolitik di masjid
sama ada dengan ungkapan , simbol-simbol parti atau aktiviti politik yang
berselindung dengan majlis bacaan yasin dan sebagainya untuk memenangkan
calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya.
Buat akhirnya, bagi saya, setiap orang berhak walau tidak berparti
berhak untuk berpolitik.
No comments:
Post a Comment
Mengkalu baik, ambik..Mengkalu burok, tinggai.